|
|
||
MISTERI AIR TERJUN BATU HAMPAR PAYA LINTAHKAMPUNG PAYA LINTAH, 33700 PADANG RENGAS, PERAK |
|
|
Penggambaran Misteri Nusantara TV3
Kawasan Perkelahan Batu Hampar Paya Lintah terletak dalam Kampung Paya Lintah, Padang Rengas iaitu sebuah kawasan banjaran gunung yang dikenali Banjaran Bintang dalam daerah Kuala Kangsar. Kawasan ini juga bersebelahan dengan hutan simpan Bintang Hijau dan antara kawasan paling lembab di Negeri Perak. Secara umum, kawasan ini memang dikenali ramai sebagai pusat perkelahan yang menarik. Ia adalah tempat yang kaya mengandungi kisah-kisah misteri dan khazanah alam yang tak ternilai. Kisah-kisah misteri telah saya himpunkan sejak saya kecil lagi yang diperoleh daripada orang-orang tua di kampung ini hinggalah sekarang. Kisah-kisah ini kemudiannya saya analisis dan dibuat perbandingan antara cerita lisan orang-orang tua tersebut akan persamaan yang boleh didapati dan relevan akan sesuatu kisah yang diperturunkan dari generasi ke generasi. Persoalannya, bukan kebenaran atau logik akan sesuatu cerita yang saya cari; tetapi pola kisah-kisah lisan di kampung ini yang diwarisi oleh orang-orang tua daripada generasi terdahulu untuk tatapan kita semua.
Pada jam 2 petang, krew penggambaran Misteri Nusantara tiba ke rumah kami. Bermula kehadiran En. Hamid dan isteri sebagai pelengkap cerita, Azman Pandak Sidek dan kami sekeluarga maka bermulalah penggambaran. Rancangan diatur di bengkel labu sayong paya lintah kami bagi menentukan lokasi yang sesuai dan memilih kisah misteri yang utama sahaja yang akan diketengahkan nanti. Wartawan yang hadir ialah Mat Nasir Yusuf dan Norzahan Abdul Rashid sebagai wartawan pelatih. Selain itu, juru kamera En Roslan dan Pn Jamilah.
Tidak diketahui logik akal, bagaimana ia berkait dengan berlakunya hujan di pergunungan. Menurut sumber utama, ada mendakwa bahawa generasi terdahulu telah membuktikan akan kebenarannya. Akan tetapi, seolah-olah fungsinya telah tawar kini. Mungkin disebabkan tiada amalan tertentu. Penulis berharap kita semua tidak perlu mempercayainya kerana kisah-kisah ini hanyalah cerita dongengan semata-mata. Cuma jadikan ia, suatu cerita rakyat setempat dalam mewarnai warisan zaman. Oleh itu, tidak perlu kita menyanggahnya, kerana setiap cerita itu ada nilai moralnya sendiri.
Begitu juga dengan kisah yang diceritakan oleh seorang pengunjung; kini menetap di Taiping. Menurut beliau, kejadian yang tidak disangka-sangkakan itu terjadi sewaktu beliau dan keluarga berkelah di Batu Hampar bahagian atas pada tahun 1960-an atau 1970-an, sewaktu kejadian ada beberapa pengunjung dan kanak-kanak kampung ini sedang berkelah dan mandi. Tiba-tiba, suatu lembaga yang amat besar timbul dari dasar kolam pada paras pinggang dan merenung pengunjung kemudian tenggelam semula. Semua yang ada di tempat itu tergamam seketika dan lari ke tebing sungai yang berlata. Namun, terdapat seorang budak kampung yang seolah-olah menunjuk-nunjuk dan bercakap besar telah terjun ke dasar kolam tersebut yang akhirnya berlaku tragedi di mana selama beberapa hari budak tersebut tidak timbul-timbul yang akhirnya ditemui lemas di dasar kolam sungai itu juga. Namun, lama kelamaan kisah ini seolah-olah dilenyapkan dan dilupakan oleh generasi terdahulu. Hanya beberapa keluarga sahaja yang tahu akannya di kampung ini.
Menurut sumber, Moyang Salli berasal dari Kampung Bukit Gantang, daripada empat adik beradik iaitu Moyang Dokme @ Some, Moyang Salli, Moyang Chad dan Moyang Limbat dan berketurunan Pattani sebelah ibu dan Bugis sebelah bapanya. Abangnya Moyang Dokme @ Some menetap di Kg. Kroh Hulu, Moyang Limbat terarah ke mukim Kati dan Moyang Chad ke mukim Manong. Manakala Moyang Salli sering ke rumah abangnya di Kroh Hulu dan berulang alik ke Batu Hampar Paya Lintah ketika itu. Moyang Salli dikatakan berkahwin dengan anak ketua kampung Bukit Gantang ketika itu dan zuriatnya kebanyakkannya menetap di bahagian Sayong. Hingga kini di bahagian sayong ada mendakwa merupakan keturunan salasilah Moyang Salli termasuklah opah saya sendiri. Di mana jika di ambil kira diri saya sebelah atuk, merupakan salasilah daripada Moyang Dokme @ Some yang kemudiannya Anjang Sabo, Kulup Talib, Pandak Sidek (Atuk sebelah ibu), dan ibu saya Zaleha Pandak Sidek.
Berkenaan Moyang Salli, dikisahkan bahawa suatu hari ketika di Stesyen Keretapi Bukit Gantang (telah ditutup) sewaktu berehat. Secara tiba-tiba, sebelah kaki yang teramat besar dihentakkan dihadapan beliau. Maka bergempalah ditempat beliau berehat lalu dilihat suatu jasad yang ketinggiannya lepasi paras awan. Namun, hanya beliau sahaja yang perasan kejadian tersebut lalu dipeluk kaki tersebut hingga dibawa melayang ke udara dalam jarak terlalu luas sampai ke tepi laut, pergunungan dan nampak sayup-sayup kawasan di bawahnya. Lalu dengan nada kuat, apa yang kamu mahu? Makhluk itu bertanya. Lalu setelah difikirkan, beliau meminta supaya boleh berubat orang. Maka diajar dengan satu ayat. Dengan ayat itulah beliau Moyang Salli boleh berubat orang, memiliki beberapa kelebihan dan lain-lain.
Manakala, pembuatan tali air bagi mengairi sawah padi ketika itu, ada 2 versi iaitu pertama dikatakan Moyang Salli membuat tali air dengan menggunakan tongkat lalu diguris-guris tanah di sebelah sungai hingga ke kawasan petak sawah padi di kampung ini kemudian membina empangan kecil menggunakan batang pokok pinang hanya menggunakan kudrat tangannya sahaja. Versi keduapun sama cuma ada tambahan iaitu setelah siap, perbalahan kecil berlaku antara orang kampung yang lain dan berlakulah takbur akan kelebihan akan dirinya. Ada yang mengaitkan peristiwa ini mengakibatkan Moyang Salli ghaib di Batu Hampar Paya Lintah.
Akhir sekali, tentang kewujudan tapak-tapak haiwan dan manusia di Lata Batu Hampar Paya Lintah. Sewaktu masa dulu, kawasan ini diceritakan berkeadaan lembik malah beralun-alun. Keadaan ini, ada mengaitkan nasi tumpah dari periuknya bagaikan kanji menurut kisah orang-orang tua. Apabila, Sang Kelembai lalu di kawasan tersebut maka ditegurnya. Lalu kanji tersebut berubah menjadi batu hamparan seperti yang boleh kita lihat sekarang. Banyak juga bekas tapak kaki haiwan dan manusia seperti yang diperkatakan oleh orang-orang tua di mana pada pandangan kita sekarang ia hanyalah kesan alam semulajadi seperti hakisan, luluhawa dan buatan manusia yang mungkin secara kebetulan. Selain itu, sewaktu Sang Kelembai melalui kampung ini, penduduk sedang menukal jagung kemudian bertempiaran lari. Ada seorang pemuda itu tidak menyedari Sang Kelembai, lalu sedang mengambil buluh. Sedang Sang Kelembai melalui tempat pemuda tersebut, dipotong oleh pemuda itu akan akar-akar yang menarik pohon buluh hingga melentur ke tanah. Maka melentiklah semula akan buluh tersebut hingga kelihatan lebih tinggi dan kuat daripada Sang Kelembai itu. Keadaan ini membuatkan sang Kelembai ketakutan dan menyangka rupanya ada orang yang lebih tinggi dan kuat daripada dirinya lalu segera beredar dari kampung ini. Demikian itu, terselamatlah penduduk kampung daripada terkena sumpahan teguran daripada Sang Kelembai. Kisah ini telah disiarkan dalam slot Misteri Nusantara TV3 pada Isnin 17-1-2005 Sekian.
Penghargaan Pihak Yang Terlibat di Bengkel Labu Sayong Paya Lintah
|
[ Pengenalan ] [ Lokasi ] [ Produk Kraf ] [ Customer Services ] [ Lain-lain ]
Lawatan Majalah 3 dan Tiga Kisah Misteri Nusantara di Bengkel Labu Sayong Kami
Hebahan dan Peringatan Untuk Tempahan Lawatan Ke Halaman Utama Kembali
![]()
Untuk maklumat lanjut sila hubungi di talian ( Shahril 6012-4595687 ) atau di alamat No.141, Kampung Paya Lintah, 33700 Padang Rengas, Kuala Kangsar, Perak. Malaysia